Penyiram Automatik Tanaman  - Sekarang adalah waktu cuti sekolah hujung tahun. Anak-anak sudah saya hantar balik bercuti  ke kampung minggu lepas. Seronoknya mereka bermain dengan sanak-saudara.





Saya kembali ke Kota Kinabalu dan meneruskan kerja harian saya di samping melayan karenah serangan serangga, terkurang baja tanaman yang saya sudah tanam sejak beberapa bulan yang lepas.





Berbalik kepada tajuk, perkara ini sudah lama saya fikir dan jangka akan saya hadapi juga satu hari.





Ya, inilah masanya.





Minat pada tanaman ini bukanlah suatu yang baru, ianya memang sudah sebati dengan diri saya yang berasal dari kampung. Satu kepuasan bila tanaman menjadi dan boleh dipetik hasilnya dan begitulah sebaliknya jika tanaman gagal seperti tembikai yang saya tanam baru-baru ini yang gagal berbuah dengan baik kerana serangan serangga dan kesilapan saya lambat membaja.





Memandangkan cuti rehat tahunan saya masih banyak dan layak saya gunakan cuti yang ada untuk bercuti dan berada di kampung berjumpa  keluarga.





Menjadi satu masalah pula bila mengenangkan tanaman yang baru disemai dan persoalannya siapa akan menyiramnya? Rasa bersalah dan sia-sia sahaja usaha saya sejak kebelakangan ini.





Jadi, untuk mengelakkan saya kerugian masa dan kos yang tinggi,  saya ambil keputusan untuk membuat mesin Penyiraman Automatik Tanaman.





DIY Alat Penyiram Automatik Tanaman





Untuk memudahkan kerja, anda perlulah menyediakan semua kelengkapan yang diperlukan. Anda boleh gunakan apa sahaja barang yang ada di rumah mengikut kreativiti masing-masing.





Bahan-bahan yang saya gunakan termasuk kos harga (anggaran) adalah seperti;






  • Mesin drill / Solder

  • Soket elektrik pemasa automatik (timer). - RM15.00

  • Hos getah 5 meter. - RM10.00

  • Pengikat hos getah - RM2.50

  • Penyiram (sprinkler). - RM2.00

  • Tong Air - RM15.00

  • Pam air -RM40.00

  • Set pelampung cistern - RM7.50

  • Hos bidet - RM8.00

  • Pita PTFE - RM2.00

  • Pipe Connector 1/2" - RM1.00





Cara-Cara Memasang






  1. Sediakan semua peralatan yang diperlukan.

  2. Buat lubang pada tong air dengan saiz lubang 1/2"sesuai dengan saiz set pelampung.

  3. Pasang pelampung dan ketatkan semua sambungan.

  4. Lilitkan pita PTFE pada Pipe Connector dan Set pelampung.

  5. Pasang Pipe Connector pada paip dan ketatkan.

  6. Pasang hos bidet dan ketatkan semuanya. Pastikan getah silikon ada dipasang sebelum diketatkan bagi mengelak kebocoran.

  7. Selepas itu, pasangkan pam air dan sambungkan hos dari pam terus ke penyiram (sprinkler).

  8. Tanam sprinkler atau pasangkan di tiang. Semakin  tinggi, semakin jauh capaian air siraman selain bergantung kepada kekuatan pam.

  9. Pasangkan soket pemasa automatik (timer) dan setkan masa penyiraman. Saya cuma set 15 minit pagi dan 15 minit petang untuk masa siraman. Tempoh masa 15 minit adalah tempoh masa tersingkat yang dapat diset.

  10. Pasangkan elektrik dan cuba.





Gambar-Gambar Penyiram Automatik Tanaman









 





Video Penyiram Air Berfungsi









Nota:





Gambar akan saya tambah lagi nanti. - sudah selesai. updated 11/12/18





Semakin kuat pam digunakan, semakin jauh capaian dan pusingan sprinkler. Namun semakin banyak sprinkler dipasang, tekanan pam yang kuat juga diperlukan.





Saya menggunakan pam air sederhana sahaja, kerana tiada stok untuk pam air yang lebih kuat di kedai. Selain itu, saya bercadang untuk untuk menggunakan pam itu untuk projek hidroponik saya pada masa akan datang yang tidak memerlukan tekanan yang kuat. Kira berjimat sedikit kerana mesin siraman automatik ini digunakan untuk masa cuti sekolah ini sahaja.





Jadi, saya boleh bercuti tanpa 'rasa bersalah' pada tanaman saya.





Jom  "LIKE" FB page saya ya..





Nacqris Backyard Garden