Salam sejahtera kawan-kawan. Pada entri kali ini agak lain sedikit kerana tiada kaitan secara langsung dengan pertanian namun ianya adalah berkaitan hobi baru saya iaitu projek DIY terutamnya pertukangan kayu. Persoalan yang sering menjadi tanda tanya, Selamatkah Kayu Pallet Terpakai Diguna Semula Membuat Perabot DIY?

Jawapannya adalah Ya dan Tidak!

Kayu pallet yang dihasilkan menggunakan spesis kayu pine untuk tujuan import/eksport perlu melalui proses fumigasi bagi mengelakkan makhluk perosak ataupun penyakit tumbuhan dari merebak dari satu negara ke negara yang lain di seluruh dunia.

Pihak International Plant Protection Convention(IPPC) yang bertanggungjawab untuk memantau dan mengawal selia penyebaran tersebut daripada berlaku. Oleh itu, setiap pengeluar pallet untuk tujuan import/eksport ini memerlukan sijil ISPM15 sebelum pallet keluaran syarikat mereka boleh digunakan.

Teknik Fumigasi Kayu Pallet

Terdapat dua jenis teknik fumigasi yang digunakan ke atas pallet yang dihasilkan iaitu teknik Heat Treatment(HT) dan juga teknik menggunakan bahan kimia yang dikenali sebagai Methyl Bromide (MB).

Fumigasi Heat Treatment (HT)

Hanya pallet yang menggunakan teknik Heat Treatment(HT) sahaja sesuai digunakan untuk projek diy anda. Ini adalah kerana ianya tidak menggunakan sebarang bahan kimia dan menggunakan teknik pemanasan di dalam oven sahaja iaitu pada suhu minima 56 °C (133 °F) dan paling kurang tempoh selama 30 minit masa yang telah di tetapkan oleh IPPC.

Fumigasi Methyl Bromide (MB)

Pallet yang menggunakan teknik fumigasi bahan kimia yang dikenali sebagai Methyl Bromide (MB) sama sekali tidak selamat digunakan dan perlu dielakkan penggunaannya utk tujuan pembuatan perabot.

Kayu Pallet Terpakai Untuk Perabot DIY - Jenis Pallet
Pelbagai Jenis Pallet
Kayu Pallet Terpakai Untuk Perabot DIY - Cop Pada Kayu Pallet
Cop Pada Kayu Pallet

Alternatif Elak Guna Kayu Pallet

Masalah pembuatan perabot dari kayu jenis pine ini boleh diatasi dengan menggunakan kayu pine baru atau popular digelar ‘Pine Dara’ namun harganya lebih mahal dari pallet terpakai.

Jika memang niat untuk membuat perabot terutama perabot dalam rumah, sebaiknya guna kayu baru. Walaupun harga agak mahal (terutamanya seperti saya berda di Sabah) namun dari segi kekemasannya kita puas hati kerana tiada lubang paku, kayu licin (biasanya berketam) dan saiz yang panjang/lebar (kurang kerja menyambung/gam).

Ada bajet lebih boleh terus guna kayu keras kerana sudah pasti kuat/tahan cuaca berbanding kayu pine agak lemah profailnya jika diletak pada luar rumah terkena hujan dan panas , ianya cepat reput.

Pilihan di tangan anda.

Kredit : kayupallet.my